TIADA KOMPROMI DALAM SEBARANG BENTUK SALAH LAKU

SUNGAI BESI, 15 Nov 24 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman dalam satu perjumpaan khas bersama Pegawai, Jurulatih dan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Dewan Tun Templer, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Perdana Sungai Besi pada hari ini.
 
PAT dalam ucapannya menegaskan bahawa perbuatan buli tiada tempat di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau turut berharap agar kes-kes yang berlaku dapat dibendung serta dapat diselesaikan di segenap peringkat seiring dengan cogan kata Angkatan Masa Hadapan, Benteng Pertahanan Negara.
 
Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan tegas menolak segala bentuk perbuatan buli dalam kalangan warganya dan mengambil pendirian yang jelas bahawa tindakan sedemikian tidak akan diterima sama sekali. TDM juga menyeru agar semua pihak terlibat menyelesaikan isu ini dengan cara yang profesional, dan berlandaskan nilai-nilai integriti serta disiplin yang tinggi. Semua warga diingatkan agar sentiasa menjaga keharmonian, saling menghormati, dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi memastikan suasana yang selamat dan produktif.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia