Profil Panglima TD

PGAT PSM PSAT DGWK DPKK PGDK PAT KAT BSK PJM PNBB (Bosnia) rcds (UK) MM (AIM) Manila MSoc Sc in Def Studies (UKM) Dip Mgmt Sc (INTAN) mpat psc (USA)
Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968. Selepas menamatkan pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1985, beliau telah memenuhi keinginan cita-citanya dengan memulakan karier ketenteraannya dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja pada 19 Ogos 1986. Beliau telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 30 Julai 1988 dan tugasan pertamanya adalah sebagai Ketua Platun di Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sepanjang perkhidmatan, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan penting pada peringkat Tentera Darat mahupun Kementerian Pertahanan. Pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang diraih oleh beliau sebagai pemerintah, staf dan jurulatih telah membentuk kemahiran kepimpinan serta menyuburkan profesionalisme ketenteraan. Kewibawaan kepimpinan beliau sebagai pemerintah yang bermula sebagai Ketua Platun telah diteruskan dalam hierarki pemerintahan Tentera Darat pada peringkat batalion hinggalah ke peringkat pemerintahan medan. Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menjawat jawatan Pegawai Memerintah di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Beliau juga berpengalaman memegang pelbagai penugasan pegawai staf. Antara jawatan staf utama yang pernah disandang ialah Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Medan Tentera Darat, Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pegawai Staf 1 Alat A di Markas Tentera Darat - Bahagian Penyelidikan dan Penilaian, Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan, Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Ketua Pengarah Pembangunan di Markas Tentera Darat - Cawangan Perancangan dan Pembangunan, dan Timbalan Panglima Tentera Darat. Beliau juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam aspek latihan ketenteraan apabila pernah bertugas sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera, Kolonel Doktrin di Markas Latihan Tentera Darat dan Komandan di Pusat Latihan Tempur Tentera.
Dari aspek akademik dan kursus ketenteraan, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam serta di luar negara. Antara kursus dan pengajian utama yang telah dihadiri beliau ialah Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat, Command and General Staff College di Amerika Syarikat, Master in Management di Asian Institute of Management Filipina, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom. Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, beliau telah dianugerahkan dengan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan anugerah, iaitu antaranya ialah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri, Panglima Gagah Angkatan Tentera, Panglima Setia Angkatan Tentera, Dato’ Paduka Kesateria Mahkota Kelantan, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu, Pahlawan Angkatan Tentera, Kesatria Angkatan Tentera, Pingat Jasa Malaysia dan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati yang membawa gelaran Dato' Wira.
Berdasarkan sorotan perkhidmatan yang cemerlang, komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada perkhidmatan, serta pengetahuan dan pengalaman yang luas, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah diberi kepercayaan oleh barisan kepimpinan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia untuk memegang jawatan Panglima Tentera Darat Ke-30 pada 6 September 2023.
Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan hatinya, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah AMN dan dikurniakan tiga orang anak iaitu seorang lelaki serta dua orang perempuan. Semasa waktu lapang, beliau sering membaca pelbagai jenis bahan bacaan bermanfaat serta beriadah terutamanya bermain golf dan melancong bersama keluarga.