Setelah tamat Perang Dunia Kedua, keselamatan Negara tergugat sekali lagi. Ancaman kali ini datangnya dari Parti Komunis Malaya yang tidak berpuas hati dengan kembalinya pemerintahan British. Sebilangan dari ahli-ahli kumpulan Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) yang telah diarahkan oleh pihak British untuk menyerah dan meletakkan senjata setelah Jepun menyerah kalah enggan berbuat demikian. Sebaliknya mereka telah mengundurkan diri dan bersembunyi di hutan-hutan dan menghasut rakyat menentang pemerintahan British.

