KARNIVAL CIMIC 2024 MERIAHKAN NEGERI DI BAWAH BAYU

SABAH, 10 Nov 24 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah mengiringi Menteri Pertahanan (MENHAN), YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin merasmikan Karnival CIMIC Tahun 2024 bertempat di Balai Cerap Al-Biruni, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
 
Berteraskan kerjasama awam dan tentera, karnival yang telah berlangsung pada 9 hingga 10 November ini dapat merapatkan lagi hubungan masyarakat Sabah khususnya di daerah Putatan dan pasukan keselamatan. Karnival ini merupakan anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen).
 
Pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya persembahan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata, Pertunjukan pancaragam TLDM, pameran keupayaan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kenderaan perisai AV8 Gempita, HMAV Lipan Bara, helikopter EC726 TUDM, persembahan Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD), pameran agensi keselamatan yang lain, pameran promosi dan kerjaya serta pelbagai gerai jualan makanan.
 
Seramai 1,000 penduduk di sekitar daerah Putatan telah diberikan sumbangan kotak rezeki yang telah disampaikan oleh MENHAN. MENHAN dan PTD turut berkesempatan untuk merasmikan Projek Jiwa Murni (PJM) di rumah Puan Risma binti Anja di Kampung Contoh, Patagas, Putatan. Pembaikan rumah ini akan dilaksanakan oleh anggota dari pasukan Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 RAJD).
 
Pelaksanaan program seperti ini membuktikan komitmen yang tinggi dalam kerjasama antara ATM amnya dan TDM khasnya bersama masyarakat awam.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia