SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT TENTERA DARAT TAHUN 2025

KUALA LUMPUR, 8 FEBRUARI 25 - Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Tentera Darat Tahun 2025 berlangsung dengan penuh meriah dan penuh bermakna di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2025. Majlis Anjuran Markas Pemerintahan Medan Barat ini khusus untuk meraikan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berbangsa Cina sebagai penghargaan dan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa dalam TDM.
 
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah turut bersama-sama hadir memeriahkan sambutan pada kali ini. Kehadiran PTD dan isteri bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada warga TDM tetapi juga mencerminkan nilai perpaduan dan semangat kekeluargaan yang utuh dalam organisasi Tentera Darat.
 
PTD dalam ucapannya menyatakan bahawa walaupun tidak semua berbangsa Cina, kita tetap menyambut perayaan ini dengan penuh bangga tanpa mengira latar belakang, bangsa, atau kepercayaan. Majlis ini bukan sahaja sebagai perayaan, tetapi juga untuk mengukuhkan silaturrahim antara pucuk pimpinan dan warga TDM, mewujudkan suasana harmoni, dan memberi peluang kepada semua warga TD yang berbilang kaum menikmati kemeriahan Tahun Baru Cina.
 
Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim dan isteri, Datin Haslinda binti Mohd Ali; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak bin Sulaiman dan isteri Datin Siti Juana binti Md Ibrahim; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi dan isteri, Datin Erni Irawati binti Rosli, Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Leftenan Jeneral Dato' Zaidan bin Atan dan isteri, Datin Nurfitra binti Mohamed Alias; Pengerusi Malaysian Armed Forces Chinese Veterans Associations, Kepten Dato’ Lee Kwang Lock TLDM (Bersara) serta Pegawai-pegawai Kanan TDM dan warga TDM.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia