
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim telah menyempurnakan Perbarisan Penghargaan Mejar Jeneral Abd Wahab bin Geoh bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang pada hari ini.
Perbarisan yang melibatkan seramai 15 Pegawai dan 185 Anggota Lain-lain Pangkat Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) berlangsung dengan penuh rejimental yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhammad Hilmi bin Hashim.
Perbarisan ini diadakan sebagai penghargaan kepada Mejar Jeneral Abd Wahab bin Geoh, yang akan menamatkan perkhidmatannya setelah 39 tahun berbakti dalam perkhidmatan. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menjawat pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai pemerintah, jurulatih, dan staf di Markas Tentera Darat. Selain itu, beliau pernah mengetuai Mobile Team Jurulatih yang ditugaskan ke Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selama tiga bulan bagi melaksanakan Kursus Asas Polis Tentera serta Tempur Tanpa Senjata untuk anggota Polis Tentera di Brunei. Dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatannya menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).
Seluruh warga TDM merakamkan ucapan penghargaan kepada Mejar Jeneral Abd Wahab bin Geoh atas segala sumbangan bakti dan jasa yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.

