KUNJUNGAN HORMAT KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PERKESO KEPADA PTD

 


KUALA LUMPUR, 6 Februari 25 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menerima Kunjungan Hormat Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato' Seri Dr. Mohammed Azman bin Dato' Aziz Mohammed di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2025.
 
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kolaborasi antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan PERKESO dalam meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan warga Tentera Darat selaras dengan penumpuan pembangunan serta pengukuhan modal insan elemen kemanusiaan dan Teras Keempat yang terdapat dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30.
 
PERKESO menyarankan beberapa inisiatif yang boleh diterokai bersama, antaranya memperkenalkan lebih banyak program perlindungan sosial serta latihan kemahiran yang dapat memberi manfaat kepada anggota TDM serta memastikan kebajikan, kelestarian dan kesejahteraan warga TD dapat terpelihara terutama bagi mereka yang sedang menjalani tempoh perkhidmatan atau selepas bersara.
 
Kolaborasi antara TDM dan PERKESO ini diharapkan dapat membuahkan hasil yang positif, bukan sahaja untuk kebajikan anggota TDM, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua organisasi dalam usaha membangun negara.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia