
PULAU PINANG, 6 Nov 24 - Sambutan Deepavali Tentera Darat Tahun 2024 disambut penuh kemeriahan dengan kehadiran Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah yang telah berlangsung di Dewan Banquet Wisma Perwira 2 Divisyen, Kem Tun Razak, Pulau Pinang pada hari ini.
Sambutan ini diadakan khusus untuk meraikan pegawai dan anggota Tentera Darat serta keluarga mereka yang beragama Hindu. Perayaan seumpama ini juga merupakan platform bagi mengukuhkan ikatan silaturrahim antara pucuk pimpinan dan warga TD yang berbilang kaum yang turut hadir memeriahkan lagi suasana perayaan Deepavali TD.
PTD dalam ucapannya menzahirkan harapan agar sambutan Hari Deepavali pada tahun ini memberikan seribu satu makna yang berbeza kepada mereka yang menyambutnya.
Walaupun perayaan Deepavali telah disambut pada 31 Oktober, namun kemeriahannya masih dirasa oleh Warga TD yang hadir termasuk Veteran TD yang beragama Hindu.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur Sambutan Deepavali pada tahun ini iaitu Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang telah berjaya menganjurkan acara ini dengan begitu meriah sekali.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

