
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah, Pengerusi Jemaah BAKAT Darat telah menyempurnakan lawatan kebajikan di Kem Lok Kawi, Sabah pada hari ini.
Keprihatinan pucuk pimpinan terhadap kesejahteraan warga Tentera Darat jelas terbukti melalui lawatan ini, yang bukan sahaja memberi semangat, tetapi juga meringankan beban yang ditanggung oleh warga TD.
PTD dan isteri turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta wang tunai kepada warga dan ahli keluarga yang menghidap pelbagai penyakit dan mengalami kecederaan. Antara penerima sumbangan ialah Staf Sarjan Mohd Shamri bin Abd Sami yang menghidap penyakit Heart Failure, Pegawai Waran II Irdawaty binti Abd Manan yang menghidap penyakit Fibromyalgia Bronchiectasis, dua ahli BAKAT, serta enam anak anggota Lain-Lain Pangkat yang turut mengalami masalah kesihatan.
Selain itu, dalam lawatan ini, PTD turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat bagi empat anggota Lain-Lain Pangkat. Majlis dimulakan dengan pemakaian pangkat Staf Sarjan kepada Sarjan Azmin bin Abdul Tahir, dan diteruskan dengan pemakaian pangkat Sarjan kepada Koperal Mazpal bin Mastan, Alyvictor Akim, dan Koperal Nor Hafizah binti Mohamad Saad.
Diharapkan kenaikkan pangkat dan sumbangan yang diberikan mampu meringankan beban anggota warga Tentera Darat ,sekaligus memberikan mereka kekuatan untuk menempuh cabaran yang dihadapi.

