HARI TENTERA DARAT KE-92: "SINERGI TD DAN RAKYAT: PEMANGKIN ASPIRASI ANGKATAN MASA HADAPAN"

 
 
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah, Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, telah menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada hari ini.
 
Dengan bertemakan "Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan," sambutan tahun ini menekankan pengukuhan keupayaan operasi, latihan, logistik, serta hubungan masyarakat melalui teknologi maklumat.
 
Seramai 38 Pegawai dan 878 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam perbarisan pada kali ini yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azlan Shah bin Baharomdan diiringi oleh Pancaragam Gabungan Tentera Darat di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Zaiful Azman bin Zainul Abidin.
 
Selain itu, penganugerahan Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) 2024 turut disampaikan bagi menghargai formasi briged dan setaraf yang mencapai tahap kesiagaan tertinggi. Formasi 21 Gerup Gerak Khas dinobatkan sebagai juara, diikuti Formasi 10 Briged (PARA) di tempat kedua, dan Briged Kelapan Infantri Malaysia di tempat ketiga.
 
Perbarisan ini juga menyaksikan pelancaran kolaborasi antara Tentera Darat dan PERKESO, yang meliputi pakej khas Program Rehabilitasi PERKESO serta peluasan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk warga Tentera Darat. Selain itu, Pelan Pendigitalan Tentera Darat turut dilancarkan, membuka jalan kepada transformasi masa depan yang lebih canggih dan berdaya saing.