POS RAPAK BARU SEBAGAI PANGKALAN STRATEGIK PENGUATKUASAAN SEMPADAN

SARAWAK, 12 Dis 24 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman menyempurnakan acara Perasmian Pos Rapak Baru, Pantu, Sarawak pada hari ini.
 
Pos Rapak Baru terletak di kawasan strategik sempadan Malaysia-Indonesia, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kawalan sempadan dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara. Pos ini adalah salah satu daripada pos dalam kawasan tanggungjawab OP AWAS/KERIS PARANG. Pos Rapak Baru dibina bagi mengimbangi keberadaan pos-pos Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sepanjang sempadan, pos ini telah siap dibina sepenuhnya oleh Skuadron Ke-3 Rejimen Askar Jurutera Diraja pada Oktober 2023 dan mula beroperasi pada Mac 2024.
 
Penubuhan Pos Rapak Baru bertujuan memperkukuh kawalan di kawasan sempadan negara melalui lokasinya yang strategik, membolehkan persempadanan dipantau dengan rapi serta membolehkan tindakan pantas diambil terhadap aduan dan kejadian jenayah di sempadan. Pos ini dilengkapi dengan infrastruktur moden dan kemudahan logistik yang lebih baik bagi memastikan kesiapsiagaan serta keselesaan anggota bertugas. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai penempatan strategik untuk mempertingkatkan operasi pemantauan sempadan sambil membina hubungan erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti setempat.
 
Perasmian Pos Rapak Baru ini melambangkan komitmen ATM dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara terjamin, sekaligus mencerminkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan.