KEPERIHATINAN PUCUK PIMPINAN TENTERA DARAT MALAYSIA TERHADAP MUSIBAH BANJIR

RANTAU PANJANG, 3 Dis 24 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mengiringi Menteri Pertahanan (MENHAN), YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Gual Tinggi, Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Disember 2024.
Banjir yang melanda kawasan Pantai Timur ini disifatkan sebagai salah satu yang paling teruk sejak tahun 2014, menyebabkan kerosakan yang meluas dan mempengaruhi kehidupan penduduk setempat. Dalam menghadapi situasi kritikal ini, Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diaturgerakkan dengan segera melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah proaktif untuk membantu mangsa banjir. Tujuan utama operasi ini adalah untuk memastikan masyarakat setempat tidak terkesan dengan bencana ini, serta memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan dengan segera, dari segi pemindahan mangsa, penyediaan bantuan makanan, perubatan, dan keperluan asas lainnya.
Semasa lawatan, MENHAN dan PTD berinteraksi dengan mangsa banjir, memberikan kata-kata semangat serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjaga. Kunjungan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan tindak balas bencana berjalan lancar dan keperluan asas mangsa dipenuhi dengan cepat.
TDM sentiasa bersiapsiaga dan memberikan kerjasama penuh kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi lain yang terlibat, bagi memastikan usaha menyelamatkan mangsa banjir di setiap lokaliti berjalan lancar.
"𝐆𝐀𝐆𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐀 𝐃𝐀𝐑𝐀𝐓 𝐃𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓, 𝐊𝐄𝐊𝐀𝐋 𝐒𝐈𝐀𝐆𝐀"
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

