MALBATT 85-11 LAMBANG KESIAPSIAGAAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

PORT DICKSON, 13 Dis 24 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman telah menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 bertempat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari ini.
 
Kontijen yang diketuai oleh Kolonel Burhan bin Sargoni, melibatkan 82 Pegawai dan 771 LLP serta tiga pegawai dan 26 LLP daripada Angkatan Bersenjata Brunei telah dianugerahkan PNBB yang merupakan pengiktirafan kepada komitmen dan professionalisme yang telah dipamerkan oleh anggota MALBATT 850-11 dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
Meskipun diancam oleh konflik berterusan di antara Israel dan Lubnan, anggota MALBATT 850-11 tidak pernah gentar dan sentiasa memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka demi memenuhi resolusi PBB sebagai pasukan pengaman.
 
Tentera Darat Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota MALBATT 850-11 di atas perit jerih dan pengorbanan yang telah diberikan sepanjang bertugas di bumi Lubnan.
 
Turut hadir, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain; Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan; Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU), Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Muhammad Norazlan bin Aris TUDM; Ketua Staf Markas ATM (KS ATM), Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM; Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel Rudie Asmawi bin Haji Abidin, Pegawai-Pegawai Kanan serta warga ATM.