
PORT DICKSON, 1 Feb 2025 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 dan diiringi oleh Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada hari ini.
Seramai 1,339 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan setelah menjalani latihan pada 26 Julai 2024 hingga 1 Februari 2025 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA). Perbarisan ini melibatkan dua kontinjen yang terdiri daripada 14 detasmen dan perbarisan tempur ini diketuai oleh Perajurit Muda Muhammad Nur Yusri Al Ashraf bin Yussaini.
Perbarisan ini diserikan dengan peragaan statik aset-aset pertahanan kebanggaan TD, antaranya:
AV-8 Gempita
AV-4 Lipan Bara
ACV-300V Adnan
ASTROS II MLRS
Meriam 105mm LG1 MKIII
Meriam 155mm G5 MKIII
Kenderaan Pembawa Senjata GK M I Gatling Gun
Latihan Perajurit Muda bertujuan untuk melatih dan melengkapkan Perajurit Muda dengan pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran sebagai seorang anggota tentera sebelum diserapkan dalam pelbagai Kor dan Rejimen dalam Tentera Darat. Ini memberikan penekanan kepada pembentukan keperibadian ketenteraan, Kekuatan fizikal dan mental serta pengetahuan asas ketenteraan.
Lebih istimewa, PTD turut menyampaikan ucapan dengan mendeklamasikan sebuah sajak yang penuh penghayatan buat Perajurit Muda. PTD mengucapkan tahniah kepada Perajurit Muda yang berjaya menamatkan latihan sepanjang tempoh enam bulan di PUSASDA. PTD juga merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa yang hadir untuk memeriahkan TLPM tahun ini. Tidak dilupakan, Pameran Kerjaya Kor Tentera Darat yang diadakan di perkarangan Hangar turut mendapat perhatian warga masyarakat yang membanjiri perbarisan pada hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Dato' Seri Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi; Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Leftenan Jeneral Dato' Zaidan bin Atan serta Pegawai-pegawai Kanan TD.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

