
PORT DICKSON, 25 Jan 25 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman ke acara Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-22 bertempat di Kem Segenting, Port Dickson pada hari ini.
Perbarisan ini merupakan acara penghargaan Tentera Darat kepada Panglima Angkatan Tentera Ke-22 yang melibatkan secara keseluruhan 2,800 pegawai dan anggota. Acara dimulakan dengan Perbarisan Statik Tempur yang terdiri daripada 10 detasmen dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel Azlan Shah bin Baharom.
Perbarisan tempur ini turut mempamerkan aset kenderaan tempur TD pelbagai varian termasuk Pesawat jenis MD530G daripada Rejimen 883 Pasukan Udara Tentera Darat dan Skuadron Istiadat Berkuda (SIB). Dalam ucapan yang penuh emosi, PAT menyatakan rasa terharu dan kebanggaannya terhadap semangat juang yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan dalam perbarisan ini. Beliau turut menambah bahawa acara ini merupakan lambang penghormatan yang mendalam kepada seluruh warga TDM yang tanpa henti memberikan sokongan penuh kepada kepimpinannya sepanjang beliau menerajui pucuk pimpinan ATM.
Usai perbarisan, turut diadakan Majlis Perasmian Dewan Tan Sri Mohammad, Kem Segenting oleh PAT sendiri simbolik penghargaan dan kenangan kepada TD dimana PAT pernah menyandang jawatan Panglima Latihan TD Ke-21 pada tahun 2019.
Lebih istimewa semasa acara jamuan, PTD berkesempatan mendeklamasikan sajak teristimewa buat PAT dan turut menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi di bawah kepimpinan PAT Ke-22. Seluruh warga TDM merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang 38 tahun perkhidmatan beliau.
Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Dato' Seri Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi; Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Leftenan Jeneral Dato' Zaidan bin Atan, serta Pegawai-pegawai Kanan TDM.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

