MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2025 MENITIKBERATKAN 10 FOKUS UTAMA KEMENTERIAN PERTAHANAN BAGI TAHUN 2025

KUALA LUMPUR, 16 Jan 25 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada hari ini.
 
Majlis ini merupakan satu platform penyampaian amanat dan garis panduan strategik bagi tahun 2025 oleh kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan, dengan fokus kepada pencapaian yang telah diraih serta perancangan masa depan dalam memajukan pertahanan negara. Selain itu, ia juga menjadi ruang bagi mengukuhkan hubungan erat antara pihak Kementerian Pertahanan dan warganya, serta agensi-agensi di bawahnya.
 
YB MENHAN dalam perutusannya telah menggariskan sepuluh fokus utama yang akan menjadi tunjang hala tuju Kementerian Pertahanan sepanjang tahun 2025, iaitu:
 
1. Mencari dan menarik bakat terbaik.
2. Mengukuh keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM.
3. Memperoleh dan menambah aset serta keupayaan teknologi yang menjawab keperluan dan cabaran semasa.
4. Memperkukuh ekosistem kesejahteraan.
5. Membangunkan industri pertahanan tempatan yang kompetitif dan berdaya saing.
6. Merancakkan kajian, penyelidikan dan pengkomersialan inovasi pertahanan melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
7. Memperkemas dan melebar Diplomasi Pertahanan.
8. Mewujudkan masyarakat yang patriotik dan menghargai keamanan dan kedaulatan.
9. Menyatakan pandangan dari perspektif pertahanan agar Negara berupaya membuat pendirian kritikal.
10. Merundingkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) secara strategik bagi memenuhi keperluan Pertahanan Negara.
 
Dengan semangat dan perancangan yang jelas, Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 ini menjadi titik permulaan yang penuh bersemangat bagi seluruh warga Kementerian Pertahanan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
 
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan serta Pegawai - pegawai Kanan ATM.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia