PEMASYHURAN CANSELOR DAN ISTIADAT KONVOKESYEN KE-14 UPNM

KUALA LUMPUR, 2 Dis 24 - Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menghadiri Pemasyhuran Canselor dan Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. Istiadat konvokesyen ini merupakan salah satu acara penting dalam kalendar akademik UPNM dan turut mencatat sejarah dengan pemasyhuran Canselor yang baru.

 
Pemasyhuran Canselor dan Istiadat Konvokesyen ke-14 UPNM telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Turut berangkat pada majlis tersebut adalah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro-Canselor UPNM, serta YAM Tunku Puteri Dr. Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
 
Watikah pemasyhuran Canselor disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir. Pada istiadat tersebut, Seri Paduka Baginda mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Strategi dan Pertahanan kepada mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-19, YM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, serta penganugerahan Ijazah Tinggi dan anugerah kepada 14 penerima.
 
Hadir sama Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri (Dr) Syed Azman bin Syed Ibrahim; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki bin  Muhammad serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia