
GEMAS, 1 Nov 24 - Kor Armor Diraja (KAD) telah menganjurkan Majlis Pemakaian Pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KAD bertempat di Padang Kawad Rejimen Ke-11 KAD (11 KAD), Kem Syed Sirajuddin, Gemas dan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan yang turut diiringi oleh Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah, hari ini.
Perbarisan ini menyaksikan seramai 250 anggota LLP KAD dinaikkan pangkat dalam satu acara yang julung-julung kali diadakan. Seramai 5 orang Pegawai Waran II ke Pegawai Waran I, 13 orang Staf Sarjan ke Pegawai Waran II, 29 orang Sarjan ke Staf Sarjan, 153 Koperal ke Sarjan dan 50 orang Lans Koperal ke Koperal. Uniknya perbarisan ini apabila Ketua Perbarisan dan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) perbarisan menunggang kuda yang mempamerkan kelainan KAD sebagai Kor yang mempunya Skuadron Istiadat Berkuda (SIB).
Turut hadir menyaksikan acara ini adalah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim dan isteri, Datin Haslinda binti Mohd Ali, Ketua Staf Tentera Darat (KS TD) merangkap Pengerusi KAD, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari bin Mohd Ariffin dan isteri, Datin Indera Sharifah Murshida binti Syed Zain, pegawai dan anggota LLP KAD dari pasukan sekitar.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

