
AUSTRALIA, 11 Sep 24 - Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bersama delegasi menghadiri Land Forces 2024 International Land Defence Exposition yang berlangsung dari 11 hingga 13 September 2024 di Melbourne Convention and Exhibition Centre, Victoria, Australia.
Land Forces 2024 melibatkan penyertaan sebanyak 810 syarikat dari 25 buah negara yang mempamerkan produk dan inovasi terkini dalam industri pertahanan. Penganjuran pada kali ini juga melibatkan sebanyak 40 sesi persidangan dan simposium sepanjang tempoh berlangsungnya Land Forces 2024. Seramai lebih dari 20,000 pengunjung dijangka hadir bagi penganjuran kali ini.
Melalui platform ini, delegasi berpeluang mengukuhkan hubungan dengan pemain industri pertahanan serta mengikuti beberapa program yang dijadualkan termasuk Majlis Perasmian dan lawatan ke ruang pameran aset dan teknologi terkini dari pelbagai pempamer yang menyertai Land Forces 2024.
Keseluruhannya, penganjuran Land Forces 2024 merupakan platform terbaik untuk merealisasikan Teras Kelima Perintah Ulung PTD – Anjakan Diplomasi Pertahanan, dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan melalui perkongsian dan pemindahan teknologi.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia

