HUJAN LEBAT TIDAK MENJADI PENGHALANG

PORT DICKSON, 15 Sep 24 - Walaupun hujan lebat membasahi bumi Port Dickson pada pagi ini, namun ini tidak sedikit pun melunturkan semangat 1,144 orang Perajurit Muda yang kekal tegap berdiri dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/24.
 
Perbarisan yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang turut diiringi oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan.
 
Perbarisan pada pagi ini telah diketuai oleh Perajurit Muda Ahmad Hasnain Makhluf bin Azizul Hakim manakala pancaragam yang mengiringi perbarisan adalah pancaragam gabungan Tentera Darat yang terdiri daripada Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja dan Brass Band Pusat Latihan Asas Tentera Darat.
 
Lautan ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir turut tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun hujan lebat demi menyaksikan detik bersejarah para perajurit muda menamatkan latihan yang telah bermula sejak 8 Mac 2024 yang lalu.
 
Pengambilan perajurit muda pada siri menyaksikan peratusan tertinggi berasal dari Negeri Sarawak. Ini membuktikan warga Malaysia Timur kini semakin terbuka dalam menerima profesion tentera sebagai suatu kerjaya yang menjamin masa hadapan.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia