
PORT DICKSON, 6 Okt 24 - Seramai hampir 20,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Hari Terbuka sempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 yang diadakan di Padang Ragbi IJED, Port Dickson, Bandar Tentera Darat bermula pada 4 hingga 6 Oktober 2024.
Bertemakan "Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara", karnival yang diamanahkan kepada TDM selaku penganjur sambutan Hari Ulang Tahun ATM pada tahun ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai yang hadir.
Pelbagai pameran menarik telah disediakan sepanjang karnival berlangsung, antaranya pameran aset-aset ketenteraan, promosi serta pengetahuan umum mengenai Angkatan Tentera Malaysia selain booth jualan BAKAT ketiga-tiga Perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM. Selain itu pertunjukkan anjing perang, aksi Wira Merah dan kawad senyap serta demonstrasi kepakaran ATM turut menjadi tarikan utama pengunjung ke karnival ini.
Turut menjadi tarikan ialah program Podcast yang menjadi tumpuan ramai dimana telah membawakan penampilan khas artis dan pengacara terkenal seperti Ashraf Muslim dan Dayah Bakar bersama personaliti ATM dengan pelbagai tema menarik yang dibincangkan.
Karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan ketenteraan kepada masyarakat, tetapi juga merupakan platform untuk merapatkan hubungan antara ATM dan orang awam.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
#ATM2024

