ISTIADAT PENTAULIAHAN DIRAJA DAN PENGURNIAAN WATIKAH TAULIAH PEGAWAI MUDA PALAPES UNIVERSITI AWAM KE-42

 
PERAK, 22 Sep 24 -  Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menghadiri Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada hari ini.
 
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim bercemar duli menyempurnakan istiadat perbarisan tersebut.
 
Seramai 1,435 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada pagi tadi. Istiadat pentauliahan ini turut diiringi oleh persembahan Pancaragam Gabungan yang melibatkan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia, dan Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia.
 
Acara dimulakan dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan memeriksa Istiadat Perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Rendah Muda (PRM) Muhammad Shahrul Nizam bin Zulkifli dari PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan diteruskan dengan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 35 Pegawai Kadet Terbaik universiti awam.
 
Acara diteruskan lagi dengan pengurniaan watikah tauliah yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor melibatkan seramai 810 Pegawai Muda Askar Wataniah (AW), 350 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 275 Pegawai Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
 
Turut hadir adalah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Ts. Shamsuddin bin Haji Ludin mewakili Panglima Tentera Laut serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.