GEMA SETIA TIMUR: PERBARISAN PENGHARGAAN PANGLIMA TENTERA DARAT

PARADE PMTTD

Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) telah melaksanakan Perbarisan Penghargaan penuh istiadat bagi meraikan kehadiran Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, bersama isteri, Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah, di Padang Kawad Rejimen Ke-6 Artileri Diraja (6 RAD), Kem Lok Kawi. Kehadiran beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh warga PMTTD sebagai lambang setia, hormat dan penghargaan atas kepimpinan serta jasa beliau kepada Tentera Darat Malaysia.

Perbarisan ini melibatkan 8 detasmen merangkumi 27 pegawai dan 450 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang mewakili formasi naungan PMTTD. Istiadat perbarisan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azam bin Abdul Aziz, Pegawai Memerintah 26 RAMD, yang memimpin kontinjen dengan tertib dan penuh keperwiraan. Penyertaan besar ini memperlihatkan disiplin tinggi dan kesiapsiagaan formasi Timur dalam menggalas amanah mempertahankan negara.

Sepanjang istiadat berlangsung, Panglima Tentera Darat telah menerima tabik hormat, menyempurnakan pemeriksaan kontinjen serta menyaksikan Perbarisan Berjalan Lalu yang mempamerkan kekuatan, profesionalisme dan kesatuan warga Tentera Darat. Istiadat ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat, malah mengukuhkan semangat juang serta komitmen warga PMTTD dalam menjaga kedaulatan tanah air.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara