MALAYSIA-BRUNEI PERKUKUH HUBUNGAN PERTAHANAN

Hubungan pertahanan yang erat antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam terus diperkukuh menerusi Lawatan Rasmi Brigedier Jeneral Aldi bin Haji Hassan, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) ke Malaysia pada hari ini. Dalam rangka lawatan tersebut, Brigedier Jeneral Aldi bin Haji Hassan telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Lawatan rasmi selama empat hari ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta mengeratkan kerjasama pertahanan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), khususnya dalam aspek latihan ketenteraan, pertukaran kepakaran dan pembangunan profesional anggota, malah menjadi wadah strategik dalam memperkasa hubungan profesional, semangat persahabatan dan kepercayaan antara kedua-dua organisasi demi menjamin kestabilan, keselamatan serta keamanan serantau. #TenteraDaratMalaysia #GagahSetia