PANGLIMA TENTERA DARAT PERKUKUH STRATEGIK BERSAMA KASAD INDONESIA

JAKARTA, 21 Jul– Panglima Tentera Darat telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Kepala Staf Angkatan Darat (KASAD) Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD), Jeneral Maruli Simanjuntak, di Markas Besar TNI AD, Jakarta, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kerjasama strategik serta hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI AD. Dalam kunjungan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan Majlis Menandatangani Terms of Reference (ToR) bagi Army-to-Army Staff Talks (A2AST), iaitu dokumen yang menjadi kerangka rasmi pelaksanaan rundingan strategik secara berkala antara TDM dan TNI AD. Pemeteraian ToR ini akan memperkukuh mekanisme kerjasama dua hala melalui platform perbincangan yang lebih tersusun, tetap dan berterusan. Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai aspek kerjasama yang merangkumi pelaksanaan latihan bersama, pembangunan profesionalisme anggota, pertukaran kepakaran serta peningkatan interoperabiliti dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi kedua-dua angkatan darat. Seiring dengan perkembangan landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kepentingan memperkukuh persefahaman strategik, membina keyakinan bersama serta memperluas kerjasama pertahanan sebagai langkah proaktif dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan. Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan TDM dan TNI AD dalam memperkasakan hubungan pertahanan yang berteraskan kepercayaan, profesionalisme dan kepentingan bersama, sekali gus menyumbang kepada kestabilan serta keamanan rantau.