MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL, KHUTBAH KHAS DAN SOLAT JUMAAT SEMPENA HARI TENTERA DARAT KE-93

khutbah HTD

Bersempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-93, Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Khutbah Khas dan Solat Jumaat dilaksanakan di Masjid Muhammad Al-Fateh sebagai salah satu pengisian rohani yang memperkukuh semangat warga Tentera Darat Malaysia.

Seramai 800 pegawai dan anggota terlibat dalam majlis ini yang berlangsung dalam suasana penuh tertib dan penuh penghayatan. Kepimpinan serta warga tentera berhimpun bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, tetapi sebagai refleksi terhadap amanah besar dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Majlis ini turut dihadiri oleh Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman, Panglima Tentera Darat bersama seluruh warga Tentera Darat. Kehadiran PTD memberi makna yang jelas bahawa kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya terletak pada aset dan latihan, tetapi juga pada jiwa yang teguh, disiplin yang utuh serta kesatuan yang padu.

Selari dengan tema tahun ini, “Kemahuan Untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat”, pengisian ini menjadi simbol bahawa kemahuan untuk menang bermula dari dalam diri. Apabila kekuatan spiritual digandingkan dengan profesionalisme dan kesiapsiagaan, maka lahirlah sebuah organisasi yang bukan sahaja bersedia di medan dan lapangan, malah kukuh dari segi prinsip, pegangan dan rohani.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#HariTenteraDarat93

#HTD93

#HUTTD93

#ArmyRun2026