
Cawangan Kewangan Bahagian Perancangan dan Pembangunan (P&P), Markas Tentera Darat telah menganjurkan Persidangan Aktiviti Pertahanan Darat Tahun 2026 bertempat di Perpustakaan KEMENTAH pada 26 hingga 27 Februari 2026.
Persidangan selama dua hari ini menghimpunkan wakil pegawai dan staf daripada 44 Pusat Tanggungjawab (PTJ) Aktiviti Pertahanan Darat, melibatkan seramai 51 peserta terdiri daripada 49 pegawai dan dua Pegawai Tadbir Awam (PTA).
Sesi pembukaan telah dikendalikan oleh Pengarah Belanjawan Bahagian P&P, Kol Muhsin Bin Hj Harun.
Penganjuran persidangan ini bertujuan memperkukuh budaya integriti dan akauntabiliti dalam pelaksanaan tugas, di samping meningkatkan pengetahuan serta kecekapan pengurusan kewangan dan perolehan.
Antara pengisian utama ialah Kelas Integriti oleh Unit Integriti MINDEF, Kelas Pengurusan Perolehan dan peranan elemen kewangan dalam Konsep Angkatan Masa Hadapan (AMH), serta Kelas Kefahaman Pengauditan BADP. Penekanan diberikan terhadap pematuhan audit, pengukuhan kawalan dalaman serta pengurusan kewangan yang sistematik dan berintegriti selaras dengan keperluan tadbir urus semasa.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh AKS Bahagian P&P, Mej Jen Hj Abdul Jalal Zaidi bin Abdul Majid yang menegaskan kepentingan hala tuju belanjawan, keutamaan perbelanjaan serta penjajaran perancangan kewangan dengan keperluan operasi semasa dan masa hadapan. Secara keseluruhan, persidangan ini menjadi langkah strategik Tentera Darat dalam memperkukuh profesionalisme kewangan dan memastikan pematuhan audit dilaksanakan secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi serta Perintah Ulung PTD Ke-31.

