
Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan pada tahun 2017 terus menjadi landasan penting dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang telus dalam organisasi.
Selaras dengan komitmen tersebut, Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman, Panglima Tentera Darat telah menyaksikan acara tandatangan Sijil Ikrar Bebas Rasuah yang dilaksanakan oleh Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) dan Leftenan Jeneral Dato’ Ahmad bin Abu Bakar, Ketua Staf Tentera Darat (KS TD) bertempat di Auditorium, Kementerian Pertahanan pada hari ini.
Majlis penuh simbolik itu mencerminkan iltizam kepimpinan tertinggi Tentera Darat dalam memastikan setiap lapisan warga kerja berpegang teguh kepada prinsip amanah dan akauntabiliti.
Penandatanganan sijil tersebut bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa sebarang bentuk salah guna kuasa dan rasuah tidak akan dikompromi.
Ia juga menjadi peringatan bahawa integriti merupakan teras kekuatan organisasi, sejajar dengan peranan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng pertahanan negara yang sentiasa diyakini rakyat.
Dalam majlis yang sama, Panglima Tentera Darat turut merasmikan Pelancaran Sistem Aduan Integriti Tentera Darat sebagai satu mekanisme pemantauan dan saluran pelaporan yang lebih sistematik. Inisiatif ini diharap dapat memperkukuhkan budaya kerja beretika, meningkatkan ketelusan serta memastikan setiap aduan yang dibuat berkaitan integriti dapat ditangani secara profesional dan berkesan demi memelihara kedaulatan serta imej organisasi.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

