SKUADRON RAPID RAIL: BARISAN SENYAP DI SEBALIK KESELAMATAN REL NEGARA

rapid

Dalam kesibukan warga kota menaiki LRT dan MRT setiap hari, ramai mungkin tidak menyedari bahawa di sebalik kelancaran perjalanan itu wujud satu barisan pertahanan senyap yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa. Hari ini, barisan tersebut secara rasmi diperkenalkan melalui peluncuran Skuadron Rapid Rail di Menara Prasarana, Petaling Jaya dan telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

Skuadron Rapid Rail, yang ditempatkan di bawah 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) membawa dimensi baharu kepada keselamatan infrastruktur awam negara. Ia merupakan pasukan pakar yang memfokuskan kepada perlindungan, pemulihan dan sokongan teknikal sistem rel bandar ketika krisis.

Menariknya, skuadron ini dianggotai sepenuhnya oleh anggota Askar Wataniah yang mempunyai latar belakang profesional dalam bidang rel, kejuruteraan dan operasi pengangkutan. Dengan kekuatan 33 pegawai dan 191 anggota, mereka membawa pengalaman dunia sebenar ke dalam kesiapsiagaan pertahanan negara. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan sumber kerana tidak melibatkan penambahan anggota tetap, malah memanfaatkan kepakaran sedia ada sebagai nilai tambah strategik kepada negara.

Penubuhan skuadron ini juga mencerminkan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) menerusi kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rapid Rail sebagai pengendali utama rel bandar.

Bagi memastikan skuadron ini terus relevan, perancangan masa depan akan memberi fokus kepada latihan berterusan, pengukuhan kepakaran teknikal dan penyeragaman prosedur operasi bersama agensi awam. Peluncuran Skuadron Rapid Rail bukan sekadar penambahan unit baharu dalam struktur pertahanan, tetapi simbol komitmen negara dalam melindungi infrastruktur kritikal yang menjadi nadi kehidupan rakyat.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#WoGoS

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara