TENTERA DARAT MALAYSIA TERAS PERTAHANAN KEDAULATAN NEGARA

pertahanan dalam

Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara selaras dengan peranan sebagai komponen utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Komitmen ini dizahirkan menerusi penyertaan dalam World Defense Show (WDS) 2026 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi mulai 8 hingga 12 Februari 2026, sebuah acara pertahanan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan delegasi rasmi, agensi kerajaan serta syarikat pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Acara berprestij edisi ketiga ini dinaungi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan dianjurkan oleh General Authority for Military Industries (GAMI). Acara tersebut turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman, mencerminkan sokongan kepimpinan tertinggi dalam memperkukuh hubungan strategik, pertukaran ilmu dan pendedahan terhadap teknologi serta inovasi pertahanan terkini di peringkat global.

Penyertaan TDM dalam acara ini sejajar dengan Fokus Keempat Kementerian Pertahanan 2026 melalui amanat Menteri Pertahanan - Kementerian akan terus memodenkan dan memperkasa kesiagaan aset pertahanan negara selaras dengan pembangunan Angkatan Masa Hadapan.

Selain itu, penyertaan ini juga sebagai langkah memperkukuh keupayaan self-reliance melalui pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang telah diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada 21 Januari lalu. Seiring dengan aspirasi Angkatan Masa Hadapan, TDM akan terus memperkasa keupayaan pertahanan negara melalui pendekatan bersepadu bersama ATM serta agensi berkaitan demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara untuk kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#KemahuanUntukMenang

#SiapaKitaIkrarKita

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara