
Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.
Majlis ini menyaksikan seramai 77 orang pegawai Tentera Darat telah dipakaikan pangkat sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, prestasi dan sumbangan mereka dalam perkhidmatan. Istimewa pada hari ini, seramai 31 orang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) turut dinaikkan ke pangkat Leftenan Muda melalui Skim Tugas Khas (STK), sekali gus mencerminkan peluang kemajuan kerjaya berasaskan akademik dalam TD.
Dalam ucapannya, PTD menzahirkan ucapan tahniah kepada para pegawai yang dinaikkan pangkat dan menegaskan bahawa pencapaian ini merupakan hasil disiplin tinggi, kepimpinan berkesan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada perkhidmatan dan negara. Beliau turut mengingatkan agar pangkat yang disandang dijadikan dorongan untuk terus meningkatkan keupayaan diri, kepimpinan dan integriti selaras dengan tuntutan persekitaran keselamatan semasa.
Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol penghormatan terhadap pencapaian pegawai, malah mencerminkan keprihatinan dan pengiktirafan kepimpinan tertinggi Tentera Darat terhadap warga yang menjadi tunjang kekuatan organisasi.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

