
Tentera Darat Malaysia kini memasuki fasa kepimpinan baharu dengan pelantikan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman sebagai Panglima Tentera Darat Ke-31, sekali gus meneruskan kesinambungan peranan Tentera Darat sebagai tonggak utama pertahanan daratan negara. Pelantikan ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia, dan disaksikan oleh Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy bin Ithnain, bertempat di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada 6 Januari 2026. Pelantikan ini mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan serta kewibawaan beliau dalam menerajui organisasi ketenteraan yang berdepan landskap keselamatan yang semakin dinamik.
Majlis pemakaian pangkat yang diadakan di Wisma Pertahanan melambangkan penyerahan amanah kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia, selari dengan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan, struktur pemerintahan dan budaya profesional dalam angkatan. Berbekalkan pengalaman luas dalam perkhidmatan ketenteraan, kepimpinan baharu ini dijangka mampu memacu hala tuju Tentera Darat ke tahap yang lebih mantap dan berfokus.
Dalam era kepimpinan ini, penekanan akan diberikan kepada pengukuhan integriti, pengurusan yang telus serta pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur seiring pelaksanaan agenda pembangunan Angkatan Masa Hadapan. Pada masa yang sama, kebajikan anggota dan keluarga terus menjadi keutamaan bagi memastikan Tentera Darat Malaysia kekal sebagai angkatan pertahanan yang berkeupayaan, diyakini rakyat dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

