SEBUAH HORMAT, SEJUTA PENGORBANAN: TERIMA KASIH PANGLIMA

SEBUAH HORMAT, SEJUTA PENGORBANAN: TERIMA KASIH PANGLIMA

Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-30 berlangsung dengan penuh istiadat dan penghayatan, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat Ke-30, atas kepimpinan, jasa serta pengorbanan beliau sepanjang menerajui Tentera Darat Malaysia. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah, serta dihadiri oleh barisan pegawai-pegawai kanan Tentera Darat, melambangkan kesepaduan dan penghormatan seluruh warga angkatan.

Berdiri megah di medan perbarisan ialah seramai 20 pegawai dan 390 anggota lain-lain pangkat, digerakkan dalam formasi kemas yang mencerminkan disiplin serta kesiapsiagaan angkatan. Perbarisan ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Ridwan bin Razali, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-33 Artileri Diraja, melibatkan lima detasmen gabungan divisyen dan trup di bawah Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat. Setiap gerakan, berjalan lalu dan tabik hormat dizahirkan sebagai simbol penghargaan tulus warga medan terhadap kepimpinan tertinggi Tentera Darat.

Perbarisan penghargaan ini dizahirkan melalui susunan istiadat yang teratur, disiplin anggota serta semangat kebersamaan yang terpancar jelas di medan perbarisan, mencerminkan penghormatan mendalam warga Tentera Darat Malaysia terhadap kepimpinan yang telah menerajui angkatan dengan kewibawaan, ketegasan dan keikhlasan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara