Majlis Sambutan Deepavali Tentera Darat Tahun 2025 disambut dengan kemeriahan dan semangat perpaduan apabila Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Oktober 2025.
Majlis yang dianjurkan oleh Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (Mk PMBTD) dengan Markas Briged Artileri Roket (Mk BAR) selaku penyelaras utama itu, turut diserikan dengan kehadiran Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, dan isteri, Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah, bersama barisan kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia.
Penganjuran majlis ini bertujuan meraikan sambutan perayaan Deepavali dalam kalangan warga Tentera Darat berbilang kaum, sekali gus menzahirkan semangat “Keluarga Tentera Darat” yang harmoni dan bersatu di bawah satu panji. Ia juga menjadi wadah untuk menghargai jasa serta pengorbanan anggota berketurunan India yang sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam ucapannya, PTD menzahirkan penghargaan kepada Markas Briged Artileri Roket atas penganjuran majlis yang disifatkan sebagai simbol keutuhan perpaduan dalam kalangan warga tentera serta menegaskan bahawa perayaan seperti ini bukan sekadar sambutan budaya, tetapi manifestasi kepada kekuatan Tentera Darat yang lahir daripada perpaduan dan saling menghormati antara kaum. Beliau turut menyatakan rasa bangga melihat semangat kekitaan yang terus subur dalam kalangan warga Tentera Darat.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

