Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-Pegawai Tentera Darat telah berlangsung dengan penuh istiadat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, dan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan turut hadir Puan Sri Datin Sri Hajjah Hartiah binti Hamzah. Majlis pada kali ini menyaksikan seramai 47 pegawai dinaikkan pangkat melibatkan pelbagai peringkat kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Seramai lima (5) pegawai dinaikkan dari Kolonel ke Brigedier Jeneral, diikuti enam (6) pegawai dari Leftenan Kolonel ke Kolonel, dua puluh sembilan (29) pegawai dari Mejar ke Leftenan Kolonel, seorang (1) pegawai dinaikkan dari Leftenan ke Kapten, dan seorang (1) lagi dinaikkan dari Leftenan Muda ke Leftenan. Kenaikan pangkat ini menggambarkan kepercayaan pucuk pimpinan terhadap kebolehan, dedikasi dan komitmen pegawai-pegawai Tentera Darat dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, bagi pasukan sukarela Askar Wataniah (AW), seramai empat (4) pegawai turut diraikan — masing-masing melibatkan seorang (1) pegawai dinaikkan dari Kolonel ke Brigedier Jeneral, dua (2) pegawai dari Mejar ke Leftenan Kolonel, serta seorang (1) pegawai dinaikkan ke pangkat Mejar. Selain itu, majlis turut menyaksikan penganugerahan tauliah kehormat kepada beberapa tokoh awam sebagai Kolonel Kehormat dan Leftenan Kolonel Kehormat (AW), sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka memperkukuh hubungan awam-tentera serta memperkasa kesiapsiagaan pertahanan negara.
Pemakaian pangkat ini menjadi manifestasi pengiktirafan terhadap kepimpinan, profesionalisme dan semangat juang warga Tentera Darat Malaysia, di samping memperkukuh semangat setiakawan serta keutuhan organisasi. Ia turut mencerminkan aspirasi Tentera Darat Malaysia dalam melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti tinggi demi memastikan kesiagaan pertahanan darat negara terus utuh dan relevan menghadapi cabaran semasa.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

