
Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah angkatan yang progresif dan berinovasi melalui penganjuran Majlis Anugerah Inovasi Tentera Darat Tahun 2024, yang menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan warga TDM dalam bidang pengurusan, penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Majlis disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhammad Hafizuddeain bin Jantan ini membawa tema “Artificial Intelligence: Catalyst for a Smarter Army”, sejajar dengan usaha TDM menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi ketenteraan masa hadapan.
Tahun 2024 menyaksikan TDM mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih 7 daripada 14 projek inovasi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 4 kejuaraan di peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF). Lebih membanggakan, inovasi TDM turut menembusi peringkat antarabangsa apabila Leftenan (PKW) Ts. Mohamad Hanafi bin Salam mewakili MINDEF di Indonesia Inventors Day (IID) 2025 di Jakarta, dengan kejayaan meraih 1 pingat emas dan 1 pingat perak, sekali gus membuktikan keupayaan warga TDM bersaing di arena global. Pada majlis ini, beliau turut diumum dan menerima anugerah sebagai Inovator Harapan atas pencapaian cemerlang dan sumbangan luar biasa beliau dalam inovasi ketenteraan.
Selain itu antara produk inovasi yang diiktiraf ialah FEWP 2.0 (Free Energy Water Pump), BIRDIE – AI Bird Deterrent, S-RAM – Smart Radar Alarm Mechanism, dan PST – Portable Socket Tester. Produk-produk ini turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia membawa pulang 2 emas, 1 perak, 1 gangsa dan 3 Anugerah Khas Antarabangsa di IID 2025.
Pada majlis ini, Pemenang bagi kategori Pengurusan Pemerintahan, Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) dinobatkan sebagai Johan diikuti oleh MK PMTTD sebagai Naib Johan dan MK PLTD di tempat ketiga.
Bagi kategori Pengurusan Divisyen, kejuaraan milik Markas 4 Divisyen manakala Markas 21 GGK dan Markas 2 Divisyen meraih tempat kedua dan ketiga.
Seterusnya, dalam kategori Pengurusan Briged, Markas 7 Briged muncul sebagai Johan diikuti Markas 2 Briged dan Markas Briged Artileri Roket di tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori Pengurusan Logistik, 93 Depot Peluru dan Pemusnah (DPP) mengungguli tempat pertama dan disusuli dengan 71 BOD di tempat kedua dan 11 SSB di tempat ketiga.
Dalam kategori Pengurusan Pengiktirafan, 7 RS adalah Johan manakala 1 RAMD dinobatkan sebagai Naib Johan. Beralih kepada Kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Primer, dalam subkategori Inovasi Sosial (Penciptaan), IJED dinobatkan sebagai Johan, diikuti PULMAT dan MK 31 Briged. Sementara itu, bagi Inovasi Sosial (Penambahbaikan), 12 Woksyop Briged mengungguli tempat pertama, diikuti IKED di tempat kedua dan 93 Batalion KPD di tempat ketiga.
Bagi KIK Primer Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan), 7 RAMD muncul Johan, manakala 31 RAD dan IJED masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Dalam KIK Primer Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan), 2 Woksyop Briged dinobatkan sebagai Johan, diikuti oleh Pusat Latihan Artileri (PUSARTI) di tempat kedua dan 74 Woksyop Divisyen di tempat ketiga.
Johan keseluruhan Anugerah Inovasi TD 2024 dimenangi oleh Formasi 4 Divisyen.
Kejayaan ini membuktikan bahawa warga TDM bukan sahaja unggul dalam ketenteraan, malah berdaya cipta dan berpengetahuan tinggi dalam bidang sains serta teknologi pertahanan. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan TDM dalam membina Angkatan Masa Hadapan yang moden, efisien dan berdaya saing di peringkat global.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

