FORUM PERDANA TENTERA DARAT TERUS SEMAI INSAN BERJATI WARRIOR SEJATI

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat, bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah, telah menghadiri Majlis Forum Perdana Tentera Darat Tahun 2025 yang berlangsung di Masjid As-Syuhada, Kem Terendak, Melaka. Majlis anjuran Markas 21 Gerup Gerak Khas ini turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Darat serta warga pelbagai peringkat yang hadir bagi menyemarakkan semangat keagamaan dan memperkukuh nilai moral dalam kalangan warga pasukan.

Forum yang bertemakan “Tentera Darat Gagah Setia: Pengorbanan Tidak Bertepi, Nyawa Sebagai Taruhan” ini bertujuan memperkukuh jati diri dan akhlak warga Tentera Darat melalui pengisian rohani yang membentuk kekuatan dalaman setiap warga. Sesi ilmiah ini menampilkan tokoh-tokoh tersohor iaitu Ustaz Mohd Hariri bin Mohammad Daud selaku moderator, bersama panel jemputan Mejar Jeneral (B) Dato’ Haji Nawawi bin Haji Daud, Imam Muda Asyraf bin Mohd Ridzuan dan Ustaz Mohd Elyas bin Ismail yang berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai erti sebenar perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan dalam konteks seorang prajurit sejati.

Program ini memberi impak besar dalam membina pasukan Tentera Darat Malaysia yang bukan sahaja gagah di medan perjuangan tetapi juga kukuh dari segi rohani dan moral. Pendekatan seumpama ini memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi dalam memastikan keseimbangan antara kekuatan fizikal dan spiritual sebagai teras kepada pembentukan Angkatan Masa Hadapan Benteng Pertahanan Negara.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara