MADANI DISEMAI, RAKYAT DIDEKATI: TENTERA DARAT TERAJUI PELAKSANAAN PROGRAM KAMPUNG ANGKAT DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI ATM 2025

MUAR, 28 Okt 2025 – Komitmen Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menyuburkan agenda Malaysia MADANI terus diperkasa melalui penganjuran Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, telah hadir mengiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, di majlis yang berlangsung di dua lokasi utama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak dan Kampung Temiang, Muar, Johor.

Program berkonsepkan jiwa murni ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Tentera Darat Malaysia melalui Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (MK 7 Bgd). Ia bermatlamat untuk memperkukuh iltizam ATM dalam menyokong agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti, selari dengan teras Malaysia MADANI.

Kejayaan penganjuran program ini adalah hasil usaha bersepadu pelbagai elemen TDM yang telah digerakkan oleh MK 7 Bgd. Antara penglibatan utama TDM termasuklah Pameran Aset dan Kerjaya bagi menarik minat para pelajar dan komuniti setempat yang dijayakan oleh pasukan Rejimen ke-10 Askar Melayu Diraja (10 RAMD). Manakala formasi 10 Briged (Para) dengan pameran statik, serta promosi kerjaya oleh Sel Promosi Markas Tentera Darat.

Pelaksanaan program ini memberi impak positif kepada Tentera Darat Malaysia dalam memperkukuh imej sebagai angkatan yang bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, tetapi juga menjadi rakan strategik masyarakat dalam membina negara bangsa yang sejahtera.

Ia sekali gus memperkukuh Hubungan Awam-Tentera khususnya dalam aktiviti CIMIC serta mengangkat semangat keprihatinan, kebersamaan dan pengorbanan yang menjadi tunjang kekuatan TDM dalam mendukung aspirasi ATM ke arah kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

#TenteraDaratMalaysia

#MK7Bgd

#JiwaMurni

#SekolahAngkatMADANI

#KampungAngkatMADANI

#MalaysiaMADANI