Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas isteri kepada Mej Ir. Ts. Mohd Fikry Amri bin Abd Halim dari 12 Skn RAJD (CBRNe) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka, yang baru sahaja melahirkan tiga cahaya mata perempuan hasil rawatan IVF tajaan Yayasan Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF). Lawatan ini mencerminkan keprihatinan pucuk pimpinan Tentera Darat terhadap kebajikan dan kesejahteraan keluarga warga Angkatan Tentera Malaysia yang berdepan dugaan luar biasa namun kekal tabah dan cekal.
Dalam lawatan penuh kasih dan empati itu, Tan Sri Panglima Tentera Darat serta Puan Sri Pengerusi Jemaah BAKAT Darat telah menyampaikan sumbangan kebajikan dan kata-kata semangat kepada pasangan tersebut. Keprihatinan ini bukan sahaja menjadi suntikan moral kepada keluarga pegawai berkenaan, malah menggambarkan nilai kekeluargaan dan semangat setiakawan yang menjadi teras dalam institusi Tentera Darat Malaysia.
Tentera Darat Malaysia sentiasa menitikberatkan kesejahteraan warga serta ahli keluarga mereka sebagai tulang belakang kekuatan pertahanan negara. Lawatan sebegini membuktikan bahawa kebajikan dan keseimbangan emosi warga tentera serta keluarga mereka adalah aspek penting dalam membina angkatan masa hadapan yang gagah, berdaya tahan dan seimbang antara jasmani serta rohani.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

