Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi menjadi saksi kepada Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Istiadat penuh adat ketenteraan yang hanya dilaksanakan sekali dalam tempoh tiga dekad ini disempurnakan dengan penuh adat istiadat dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Upacara gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain; serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.
Istiadat ini mengangkat keagungan tradisi ketenteraan serta perpaduan tiga cabang perkhidmatan di bawah panji-panji kebesaran Seri Paduka Baginda Tuanku. Perbarisan megah ini menampilkan kekuatan seramai 34 pegawai dan 472 anggota lain-lain pangkat, diketuai oleh Kolonel Mohd Fuad bin Md Ghazali, Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja; Leftenan Kolonel Ahmad Faisal bin Muda, Pegawai Memerintah Rejimen Kedua Kor Armor Diraja; dan Kolonel Azri bin Hj Ahmad TUDM, Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara Diraja Malaysia. Barisan penolong ketua perbarisan terdiri daripada Lt Kol Khairul Ashmawi bin Abdul Latif, Lt Kol Mohd Faizul Rizam bin Mat Supri TUDM, serta Mej Nik Ahmad Faiz bin Nik Arzami, manakala Ajutan Perbarisan ialah Kapt Muhammad Asyraf bin Zulkifli, Kapt Ahmad Basyir bin Mohd Zawawi dan Kapt Mohamad Syimir Sazali bin Ahmad TUDM. Setiap langkah dan formasi perbarisan ini mencerminkan keutuhan disiplin, kesetiaan dan kehormatan anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam menjunjung kedaulatan Raja dan Negara.
Bagi Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong RAMD, Pegawai Panji-Panji Baharu ialah Lt Ahmad Fakruzzakirin bin Abdul Rahman, manakala Pegawai Panji-Panji Lama kini diserahkan kepada Lt M Wan Muhamad Amirul Syafiq bin Wan Zamri. Turut menyerikan istiadat berdaulat ini ialah pegawai dan anggota dari KAD serta TUDM bersama detasmen pengawal pengiring gabungan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan. Istiadat penuh makna ini diiringi oleh pancaragam pusat RAMD, KAD dan TUDM di bawah pimpinan Kol Zaiful Azman bin Zainul Abidin, melambangkan kekuatan, kesepaduan dan perpaduan Angkatan Tentera Malaysia di bawah panji-panji kebesaran Seri Paduka Baginda Tuanku — simbol keagungan, keberanian dan taat setia yang kekal abadi dalam lipatan sejarah pertahanan negara.

