
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Tahun 2025 yang berlangsung penuh adat istiadat dan kebesaran di Balairung Seri, Istana Negara. Majlis bersejarah ini menjadi simbol penghargaan tertinggi terhadap jasa dan pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara. Majlis berlangsung pada 15 Oktober 2025.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bersama Puan Sri Datin Sri Hajjah Hartiah binti Hamzah turut hadir menyerikan istiadat berprestij ini bersama kepimpinan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen Tentera Darat Malaysia dalam mendukung kepimpinan Angkatan Tentera serta memperkukuh semangat perpaduan dan profesionalisme warga ATM. Istiadat turut menyaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, menerima Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) sebagai pengiktirafan tertinggi atas kepimpinan dan jasa luar biasa terhadap ATM. Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali.
Secara keseluruhan, seramai 626 penerima menerima penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) bagi tahun ini yang melibatkan pelbagai peringkat pangkat dan perkhidmatan dalam ATM. Antara penerima istimewa pada tahun ini ialah General Mao Sophan, Commander of the Royal Cambodian Army, yang turut dianugerahkan pingat sebagai tanda penghargaan terhadap hubungan pertahanan erat antara Malaysia dan Kemboja. Penganugerahan dilaksanakan dalam dua sesi, di mana sesi pertama disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, manakala sesi kedua akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan pada 30 Oktober 2025 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.

