PENGANUGERAHAN BERET MERUN DAN SAYAP KEHORMAT PERKUKUH HUBUNGAN TENTERA DARAT MALAYSIA - TENTERA DARAT CAMBODIA

Dataran Parawood, 8 RRD, Kem Terendak, Melaka menjadi saksi Majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat kepada General Mao Sophan, Deputy Commander-In-Chief-Of The Royal Cambodia Armed Forces, Commander Of The Royal Cambodian Army yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan pada 14 Oktober 2025.

Majlis dimulakan dengan demonstrasi dinamik oleh 10 Briged (Para) yang mempamerkan keupayaan luar biasa warga pasukan elit ini melalui gabungan aksi Penerjunan Bebas, Tempur Tanpa Senjata, Renang Tempur, Tactical Combat Casualty Care (TCCC), Demonstrasi Menara Serba Guna serta Serangan Seksyen yang menggambarkan kecekapan, disiplin dan ketangkasan di medan sebenar.

Penonton turut teruja menyaksikan penerjunan bebas dari ketinggian 5,000 kaki menggunakan military tactical glider yang diterbangkan oleh pesawat EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum persembahan diteruskan dengan Demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) yang memperlihatkan kepakaran seni bela diri melalui teknik tangkisan, kuncian dan tumbukan — satu paparan bertenaga yang menyerlahkan semangat juang dan keunggulan tempur para trooper sebenar.

Selesai pertunjukan, majlis diteruskan dengan acara Pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat oleh PTD kepada General Mao Sophan, sebelum penyampaian cendera kenangan oleh Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Datuk Khairul Anuar bin Soib.

Hubungan Tentera Darat Malaysia dan Royal Cambodian Army terus diperkukuh melalui kepercayaan, kerjasama dan persahabatan yang tidak tergoyah oleh sempadan atau masa.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara