Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menerima Lawatan Rasmi General Mao Sophan, Commander-In-Chief of The Royal Cambodian Armed Forces merangkap Commander of the Royal Cambodian Army di Wisma Pertahanan pada 13 Oktober 2025.
Lawatan rasmi selama empat hari, bermula dari 13 hingga 16 Oktober 2025 ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pertahanan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Diraja Kemboja. Fokus utama lawatan ini tertumpu kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang latihan, pertukaran kepakaran serta mempertingkatkan pembangunan profesional warga tentera kedua buah negara.
Ketibaan General Mao Sophan di Dataran Wisma Pertahanan disambut penuh istiadat ketenteraan oleh PTD sebelum beliau menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai oleh Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.
Selesai acara KKU, General Mao Sophan diiringi untuk melaksanakan Kunjungan Hormat ke atas Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin sebagai tanda penghormatan rasmi kepada kerajaan Malaysia selaku tuan rumah. Beliau kemudiannya meneruskan Kunjungan Hormat ke atas PTD bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dan hubungan profesional antara kepimpinan tertinggi Tentera Darat kedua-dua negara.
Dalam sesi pertemuan itu, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen terhadap usaha memperkukuh hubungan pertahanan melalui pemeteraian Terms of Reference (TOR) yang memberi fokus kepada bidang latihan ketenteraan, pertukaran pegawai serta pembangunan kapasiti anggota.
Majlis diakhiri dengan menandatangani buku lawatan dan pertukaran cendera kenangan antara kedua-dua delegasi sebagai simbolik penghargaan dan persahabatan ketenteraan.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

