Kuala Lumpur menjadi saksi penutup 14th Indo-Pacific Armies Chiefs Conference (IPACC), 49th Indo-Pacific Armies Management Seminar (IPAMS) dan 11th Senior Enlisted Leaders Forum (SELF) 2025. Majlis ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bersama General Ronald Clark, Commanding General of USARPAC, selaku penganjur bersama. Kehadiran 161 delegasi dari 25 negara menegaskan peranan Malaysia sebagai tuan rumah yang berwibawa.
Sepanjang persidangan, para pemimpin tentera darat membincangkan isu keselamatan serantau, penggunaan teknologi moden seperti AI dalam operasi ketenteraan serta strategi mengukuhkan kesiapsiagaan kolektif. Demonstrasi operasi melawan insurgensi dan kelangsungan hidup di hutan tropika oleh Tentera Darat Malaysia turut memperlihatkan kepakaran serta profesionalisme ketenteraan negara di mata dunia.
Penganjuran kali ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan pertahanan, malah mengangkat Tentera Darat Malaysia sebagai rakan strategik yang diyakini dalam menjaga kestabilan rantau Indo-Pasifik. Dengan semangat sinergi dan kerjasama erat, IPACC, IPAMS dan SELF 2025 menjadi titik tolak ke arah jaringan pertahanan darat yang lebih kukuh, bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa dan akan datang.

