Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92 diraikan dengan penuh semangat patriotik, penekanan terhadap pengorbanan, kebajikan serta kedaulatan negara. Tentera Darat Malaysia (TDM) terus utuh mengalas tugas sebagai tulang belakang kekuatan ATM dan ini turut dizahirkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bersama kepimpinan tertinggi ATM yang sentiasa memberi sokongan padu kepada ATM.
Acara dimulakan dengan perbarisan kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diikuti penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) kepada formasi-formasi terbaik. 10 Briged Para dari Tentera Darat dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut bersama rakan formasi dari TLDM dan TUDM. Setiap formasi menerima sijil penghargaan, piala pusingan serta insentif tunai berjumlah RM 5,000.
Kemuncak acara ialah Perbarisan Tempur Statik melibatkan 43 pegawai dan 648 anggota LLP, diketuai Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan TUDM.
Persembahan demonstrasi dinamik bertemakan “Operasi Benteng Kedaulatan” turut mempamerkan aset utama Tentera Darat termasuk kereta perisai Gempita, SOV, meriam 105mm Pack Howitze, serta helikopter MD530-G dan A109 LOH.
Pasukan Grup Gerak Khas (GGK) bersama PASKAL dan PASKAU, memperlihatkan kecekapan tinggi dalam operasi bersama tiga cabang perkhidmatan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Horizon Baharu KIK ATM 2025 serta Anugerah Kecemerlangan Sukan ATM 2024, di mana Tentera Laut Diraja Malaysia dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Dalam kesempatan sama, Panglima-Panglima Perkhidmatan termasuk Panglima Tentera Darat turut menyantuni 23 anggota ATM yang cedera semasa bertugas sebagai simbol penghargaan atas pengorbanan mereka.
“Duty - Honour - Sacrifice.”
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

