
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya memperlihatkan elemen Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Darat yang sentiasa mendapat sambutan ramai melalui aset-aset serta warga Tentera Darat yang mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kebangsaan. Acara sambutan yang penuh gilang gemilang ini turut disaksikan oleh barisan kepimpinan ATM antaranya Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, Panglima Angkatan Tentera dan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat bersama isteri, Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah serta barisan kepimpinan TDM yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada kotinjen ATM.
Tahun ini, Tentera Darat menampilkan kelainan dengan penglibatan menyeluruh hampir semua kor dan rejimen utama. Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mengetuai Kawalan Kehormatan Utama diiringi Pancaragam Pusat RAMD, manakala 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (RAD) melaksanakan tembakan kehormatan 14 das meriam melambangkan perpaduan negeri. Kelainan turut terserlah melalui deruman aset Kor Armor Diraja (KAD), kepakaran medan dan sokongan teknikal Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), serta kesiapsiagaan Rejimen Sempadan (RS) menjaga sempadan negara.
Penyertaan turut diperkukuh dengan kontinjen Kor Kesihatan, Kor Agama Angkatan Tentera, Kor Polis Tentera Diraja dan Kor Perkhidmatan Am yang melengkapkan sokongan operasi. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula membawa Jalur Gemilang gergasi serta panji-panji negeri, menzahirkan kesinambungan generasi muda. Keseluruhannya, TDM bukan sahaja menonjolkan kekuatan dan disiplin, tetapi kelainan melalui kepelbagaian elemen yang dipamerkan, membuktikan kesiapsiagaan mereka sebagai benteng pertahanan negara sepanjang 68 tahun kemerdekaan.

