
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah mempengerusikan Mesyuarat Agung Wisma Perwira Tentera Darat (WPTD) Tahun 2025 yang berlangsung di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 27 Ogos 2025.
Mesyuarat agung ini merupakan agenda tahunan yang menjadi platform rasmi kepada pihak pengurusan dan ahli WPTD untuk melaksanakan proses pelantikan barisan Ahli Jawatankuasa serta pengurusan baharu bagi tahun semasa. Selain itu, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai pelbagai isu dan permasalahan semasa yang berkaitan dengan pentadbiran, pengurusan fasiliti serta kebajikan warga wisma.
Dalam masa yang sama, ia juga menjadi medan perbincangan strategik bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan serta inisiatif baharu yang mampu memperkukuhkan lagi peranan WPTD sebagai pusat tumpuan kebajikan, kesejahteraan, dan kebersamaan warga Tentera Darat Malaysia. Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen kepimpinan Tentera Darat dalam memastikan kelestarian pengurusan Wisma Perwira Tentera Darat terus terpelihara selaras dengan aspirasi organisasi.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Pisau Tentera Darat oleh PTD kepada Pegawai Kanan Tentera Darat. Penyerahan ini membawa signifikan tersendiri sebagai simbol keperwiraan, penghargaan atas jasa bakti, serta amanah kepimpinan yang digalas dalam memastikan kelangsungan maruah dan kedaulatan Tentera Darat Malaysia.
Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Ketua Staf Tentera Darat, pegawai-pegawai kanan TD serta ahli-ahli WPTD.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

