60 TAHUN KEUNGGULAN GERAK KHAS: PERBARISAN BERSEJARAH PENUH KEBANGGAAN

60 THN GGK

Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 berlangsung penuh istiadat dan kebanggaan, disaksikan oleh Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Turut hadir, Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan yang mengiringi sepanjang majlis gilang-gemilang ini bertempat di Kem Iskandar Mersing, Johor pada 16 Ogos 2025.

Perbarisan ini menghimpunkan kekuatan 18 pegawai dan 173 anggota lain-lain pangkat daripada lima detasmen utama, iaitu Rejimen 11 Gerak Khas, Rejimen 21 Komando, Rejimen 22 Komando, Gabungan 21 Gerup Gerak Khas serta Pusat Latihan Peperangan Khusus. Pancaragam gabungan 21 Gerup Gerak Khas dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor turut mengiringi acara dengan persembahan lagu-lagu penuh semangat, menambahkan seri dan kemegahan sambutan.

Acara kemuncak menyaksikan pemeriksaan perbarisan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, diikuti titah ucapan baginda yang menzahirkan penghargaan terhadap keberanian, disiplin dan profesionalisme warga Gerak Khas. Laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali menggema sebagai simbol kesetiaan warga Tentera Darat kepada Raja dan negara.

Turut berangkat mengiringi majlis ialah Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor. Kehadiran tetamu diraja ini menambah seri majlis sekali gus mencerminkan sokongan padu institusi diraja Johor terhadap warga Angkatan Tentera Malaysia.

Perbarisan ulang tahun ke-60 ini memberi signifikan besar kepada Tentera Darat Malaysia, khususnya dalam memperkukuh esprit de corps serta semangat juang pasukan elit. Ia bukan sahaja meraikan enam dekad kejayaan dan pengorbanan Gerak Khas, malah menjadi platform mengukuhkan hubungan antara kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera dengan anggota di lapangan, sekali gus menegaskan kesiapsiagaan Tentera Darat dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan negara.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara