
Majlis Hall of Fame Panglima Angkatan Tentera telah berlangsung dengan penuh istiadat dan penghormatan pada 14 Ogos 2025 di Dewan Hikmat, Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Putrajaya. Majlis ini dihadiri oleh Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaafar, Panglima Angkatan Tentera (PAT) merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola, diiringi oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat (PTD).
Pemasyhuran Hall of Fame ini bertujuan memberikan pengiktirafan berprestij dan terserlah kepada alumni yang telah mencapai kedudukan tertinggi dalam perkhidmatan masing-masing melalui kecemerlangan. Majlis ini memberi penghormatan khas kepada PAT yang merupakan alumni Kumpulan Perintis Siri 1/2020 Maktab Ketahanan Nasional sekaligus menjadi individu pertama yang dilantik ke dalam Hall of Fame berprestij ini.
Acara dimulakan dengan tayangan montaj video yang memaparkan perjalanan kerjaya dan pencapaian beliau diikuti dengan upacara pengiktirafan rasmi yang disempurnakan oleh Mejar Jeneral Abdul Karim bin Ahmad, Komandan Maktab Ketahanan Nasional. Turut hadir Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut, Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Panglima Tentera Udara, Puan Sri Hajah Risia binti Sheikh Ali Omar Bajarai, isteri Panglima Angkatan Tentera, Lembaga Gabenor PUSPAHANAS, Pegawai Kanan ATM, peserta Kohort 6/25 Maktab Ketahanan Nasional, ahli akademik serta wakil-wakil agensi kerajaan.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

