
Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025, salah satu acara tahunan terbesar Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kembali menggamatkan Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Negeri Sembilan hari ini dengan demonstrasi kuasa tembakan yang memukau. Acara ini turut disaksikan Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaafar, Panglima Angkatan Tentera; YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan serta Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat. Kehadiran figura tertinggi dalam pertahanan ini menjadikan LKT 2025 lebih bermakna, sekaligus memperlihatkan kesepaduan kepimpinan tertinggi ATM dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara.
LKT kali ke-54 ini berlangsung selama 12 hari bermula 1 Ogos 2025 dan telah mempamerkan kehebatan aset pertahanan darat, udara dan laut. Seramai 2,500 anggota dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM telah terlibat dalam latihan ini yang menjadi platform pengukuhan keupayaan aset dan sistem persenjataan. Tentera Darat menampilkan Lipan Bara M134D, AV8 Gempita, INGWE ATGW dan PT-91M Pendekar, disokong oleh aset udara seperti Agusta 7.62mm dan helikopter MD530G. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membawa Super Lynx dan Fennec, manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempersembahkan F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Eurocopter EC725. Acara kali ini turut mencatat sejarah dengan penglibatan julung kali daripada Johor Military Force (JMF).
Pertunjukan ini bukan sekadar paparan, tetapi merupakan bukti nyata kesiapsiagaan ATM dalam mempertahankan tanah air. Pelaksanaan latihan ini juga sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30, iaitu kesiapsiagaan dalam memastikan Tentera Darat sentiasa bersedia menangkis sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara.
Turut menyaksikan demonstrasi bersejarah ini ialah Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak bin Sulaiman, Panglima Medan Barat Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato’ Ahmad bin Abu Bakar, Ketua Staf Tentera Darat; para Panglima Perkhidmatan; penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (Bersama) (KPSM) Siri 54/2025 serta Penasihat Pertahanan pelbagai negara.
LKT 2025 sekali lagi membuktikan bahawa ATM bukan sahaja memiliki keupayaan persenjataan moden, tetapi juga kekuatan integrasi, disiplin dan kesediaan tinggi untuk mempertahankan keamanan negara di medan sebenar.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

